Friday, March 19

kenyataan AQSA SYARIF

Kenyataan akhbar Aqsa Syarif: Situasi terkini di Baitul Maqdis

Kenyataan Media AQSA SYARIF

19hb Mac 2010 bersamaan 3 Rabi’ulakhir 1431

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang



Situasi tegang di Baitul Maqdis timur dan di Masjid al-Aqsa terutamanya menimbulkan keresahan dan kebimbangan di kalangan masyarakat antarabangsa dan umat Islam khususnya. Ketegangan yang sudah berlanjutan lebih dari seminggu semakin memuncak apabila pada 16hb Mac 2010, polis Israel bertindak ganas mencederakan lebih dari 49 rakyat Palestin yang cuba melindungi kesucian Masjid al-Aqsa.


Rakyat Palestin dan umat Islam tidak punya pilihan melainkan bangkit mempertahankan Masjid al-Aqsa ekoran tindakan Israel membangunkan semula kuil Hurva di perkarangan Masjid al-Aqsa. Ia adalah satu tindakan yang jelas bertujuan untuk mengancam Masjid al-Aqsa dan sebahagian dari perancangan jahat untuk meruntuhkan masjid tersebut dan menggantikannya dengan Haikal, tempat penyembahan Yahudi yang selama ini menjadi angan-angan mereka. Upacara perasmian kuil pada 15 Mac yang lalu yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri Israel, Benyamin Netanyahu adalah percikan api pertama yang akan mencetuskan ledakan besar. Ekoran dari tindakan provakasi ini, Khaled Mish’al tokoh dan jurucakap HAMAS di Damsyik menggesa supaya rakyat Palestin bangkit melancarkan intifadah demi mempertahankan Masjid al-Aqsa dan Tanah Suci Baitul Maqdis. Tindakan Israel membangunkan tempat ibadat mereka di kawasan penduduk Arab yang beragama Islam dan Kristian adalah jelas menggunakan sentimen keagamaan untuk melanjutkan agenda jahat Zionis untuk menguasai Baitul Maqdis.


Perancangan ini adalah seiring dengan pengumuman Tel Aviv untuk meneruskan projek pembinaan penempatan haram Yahudi yang menempatkan tambahan 1,600 unit apartment di Baitul Maqdis timur. Meskipun Israel bersetuju untuk menghentikan projek penempatan Yahudi di Tebing Barat dan Baitul Maqdis timur dalam semua perundingan damai yang dicapai bersama pihak berkuasa Palestin sejak dari Perjanjian Oslo 1993 sehinggalah Konferens Annapolis pada tahun 2007, namun seperti yang dijangka, Israel sama sekali tidak akan menghormati syarat-syarat rundingan damai tersebut. Sudah termaktub di dalam Perlembagaan negara haram Israel bahawa Tebing Barat yang mereka rujuk sebagai ‘Judea’ dan ‘Samaria’ adalah bahagian yang integral dari negara Israel dan Jerusalem (Baitul Maqdis) diwartakan sebagai ibu negara Israel yang abadi. Pembinaan penempatan Yahudi di atas tanah-tanah rakyat Palestin yang mereka rampas adalah bertujuan untuk mengyahudikan Baitul Maqdis. Kehadiran kuil Hurva adalah pelengkap kepada cita-cita untuk menguasai Baitul Maqdis sepenuhnya dengan mengeluarkan rakyat Palestin yang beragama Islam dan Kristian.


Dalam saat-saat situasi cemas yang berlaku kini di Baitul Maqdis timur dan Masjid al-Aqsa maka AQSA SYARIF menegaskan berikut:-


1. AQSA SYARIF menggesa pemimpin-pemimpin negara Islam supaya bersuara dan menyatakan sikap dan pendirian terhadap provokasi Israel di tanah suci Baitul Maqdis. Negara-negara Islam wajib bersatu menggesa PBB supaya memanggil satu persidangan tergempar bagi mengambil tindakan ke atas Israel yang jelas mencabul hak rakyat Palestin dengan mengocak sentimen keagamaan.


2. AQSA SYARIF menggesa masyarakat antarabangsa supaya mendesak Israel menghormati semua syarat-syarat perundingan damai yang telah dipersetujui dengan pihak berkuasa Palestin terutama persetujuan Israel untuk menghentikan projek pembinaan penempatan Yahudi di Tebing Barat dan Baitul Maqdis timur. Tindakan Israel meneruskan pembinaan penempatan Yahudi di sana pasti akan menggagalkan proses rundingan damai dan apa yang dikatakan sebagai penyelesaian dua negara.


3. AQSA SYARIF menggesa Amerika Syarikat supaya berhenti menyebelahi dan melindungi Israel yang telah sekian lama melanggar ketetapan PBB berkaitan hak rakyat Palestin. Pencabulan Israel ke atas hak-hak rakyat Palestin yang diperakui oleh piagam PBB dan Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948 adalah berpunca dari dasar luar Amerika yang mempertahankan semua tindakan regim Zionis itu meskipun ia bertentangan dengan prinsip undang-undang dan hak asasi.


4. AQSA SYARIF menyeru umat Islam supaya tidak terpedaya dengan perancangan jahat regim Zionis yang berselindung di sebalik proses rundingan damai untuk melanjutkan agenda pendudukan bumi Palestin dan Baitul Maqdis. AQSA SYARIF yakin bahawa satu-satunya jalan penyelesaian yang ampuh ialah dengan seluruh umat Islam berdiri teguh di belakang rakyat Palestin dan menyatakan solidariti mereka terhadap perjuangan pembebasan bumi Palestin dari pendudukan Zionis. Umat Islam juga wajib membantu baik dari segi kewangan dan moral serta mempertahankan hak rakyat Palestin dalam forum-forum antarabangsa.


5. AQSA SYARIF menyeru semua rakyat Malaysia, khususnya umat Islam supaya tidak melanggan produk-produk yang dikenalpasti memberi sokongan kepada ekonomi Israel. Empat barangan yang jelas menyumbang kepada ekonomi Israel ialah McDonald, Coca-Cola, L’oreal dan Nestle. Umat Islam diseru supaya mengutamakan barangan tempatan dan hanya melanggan produk asing terutama dari Amerika Syarikat yang menjadi sekutu kuat Israel apabila perlu sahaja dan sebagai pilihan terakhir. AQSA SYARIF mengajak seluruh rakyat Malaysia supaya menyambut kempen BDS (Boycott, Divestment and Sanction – kempen memboikot, mengalihkan pelaburan dan sekatan) terhadap Israel yang giat diterajui oleh masyarakat madani (civil society) kumpulan hak asasi dan pertubuhan bukan kerajaan di peringkat global.


6. AQSA SYARIF juga menyeru umat Islam supaya membela Masjid al-Aqsa yang merupakan masjid ketiga paling suci dalam Islam. Kewajipan melindungi masjid tersebut dan tanah suci Baitul Maqdis berada di atas pundak umat Islam seluruh dunia dan bukan menjadi tanggungjawab rakyat Palestin semata-mata.


7. AQSA SYARIF mengalu-alukan peranan yang dimainkan oleh pelbagai NGO yang menyokong perjuangan rakyat Palestin dan konsisten di dalam menyemarakkan kempen solidariti bersama rakyat Palestin. AQSA SYARIF akan terus berganding bahu dengan semua pihak untuk meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia agar menyumbang wang ringgit dan menghulurkan bantuan demi membela rakyat Palestin yang tertindas oleh kekejaman regim Zionis Israel.


8. AQSA SYARIF juga tidak lupa untuk merafaqkan sembah kepada DYMM Yang Dipertuan Agung dan menzahirkan sokongan kepada Kerajaan Malaysia yang tidak pernah mengiktiraf negara haram Israel sejak negara mencapai kemerdekaan dan konsisten di dalam menyanggah pendudukan regim zionis Israel ke atas bumi Palestin.


Sekian kenyataan AQSA SYARIF dan semoga rakyat Palestin terus teguh di dalam perjuangan mereka dan akhirnya kemenangan berpihak kepada pejuang-pejuang di jalan Allah swt.



Ust. Hasanuddin bin Mohd Yunus



Pengerusi AQSA SYARIF


AQSA SYARIF adalah sebuah badan bermotif kebajikan yang didaftarkan di Malaysia No. 729288P. Misi AQSA SYARIF adalah Penyebaran Maklumat tentang Palestin, Bantuan Kemanusiaan, Bantuan Kewangan dan Kerjasama. AQSA SYARIF beribu pejabat di Kajang Selangor. No. Telefon: 013-7444428; E.mail: admin@aqsasyarif.com; myhasanuddin@gmail.com; Laman Web: www.aqsasyarif.com.



dan kamu...apa yang akan kamu akan lakukan????

No comments: