Thursday, November 14

Ada apa dengan Muharram

ADA APA DENGAN MUHARRAM?


Bulan Muharram menjadi titik tanda permulaan bagi kalendar Islam.
Ia dimulakan pada zaman Sayyidina Umar Al-Khattab RA. Mereka yang merasakan perlu untuk meletakkan tanda awal tarikh Islam ini akhirnya telah memilih bulan Muharram kerana di dalamnya terdapat peristiwa yang signifikan bagi ummat Islam iaitu hijrah.

Hakikatnya peristiwa hijrah Rasulullah SAW tidaklah berlaku pada bulan Muharram sebaliknya pada bulan Rabiul Awwal tetapi pada bulan Muharramlah azzam untuk berhijrah telah dipasak. Kemudian bermula hijrah para sahabat sedikit demi sedikit dan akhirnya Allah menurunkan perintah hijrah khusus untuk Rasulullah SAW dengan ditemani sahabat setia baginda, Abu Bakar As-Siddiq RA.

Peristiwa hijrah mengajar kita banyak perkara, keazaman, keberanian, pengorbanan dan kecekalan untuk mendapatkan sesuatu yang lebih baik untuk kehidupan dunia dan akhirat. Meninggalkan tanah air yang dicintai untuk menyelamatkan Iman. Betapa mereka menghargai nikmat iman yang mereka kecapi sehingga sanggup berkorban untuk memastikan manis nikmatnya iman ini sentiasa mereka rasai.

Kita bagaimana? Sudahkha kita merasai manisnya iman ini? Adakah kita sedar bahawa bergelar seorang Muslim itu sebenarnya satu nikmat besar yang tidak semua orang perolehi. Ramai yang mempunyai catatan Islam pada kad pengenalannya tetapi tidak ramai yang merasai manisnya bergelar Muslim. Carilah dan kejarlah manisnya hidup bergelar Muslim!



Hadirnya Muharram saban tahun, seharusnya menjadi titik tolak untuk kita kembali merenung apa yang telah kita lakukan dalam tempoh usia kita setahun yang lalu. Adakah dipenuhi dengan kebaikan ataukah dosa dan maksiat yang telah kita kumpul.

Kalau langsir rumah kita ganti saban tahun menjelang Eidul Fitri, rumah kita, kita ubah suai malah kita sendiri berpakaian baru, marilah jadikan awal tahun muharram ini bersempena dengan hijrah yang para sahabat lakukan, kita hijrahkan diri kita, perbaharui diri kita dengan membuat perubahan demi perubahan dalam diri kita.

Kita pilih untuk gaya hidup yang lebih sihat, untuk fizikal yang lebih kuat. Kita pilih untuk menjadi pekerja yang lebih ihsan dalam kerjayanya untuk rezeki yang lebih berkat. Kita pilih untuk tambah ilmu meningkat amal sebagai jaminan untuk hari akhirat.

Hakikatnya, Islam menganjurkan untuk sentiasa menjadi lebih baik. Dalam satu hadis mafhumnya, seorang Muslim tidak akan terjerumus ke lubang yang sama dua kali. Satu kesalahan tidak akan diulang lagi setelah disadari kesilapan itu. Hari ini lebih baik dari semalam dan akan terus lebih baik di hari-hari mendatang.
Selamat menjadi yang terbaik!

No comments: